Archive for the ‘Tips Perniagaan’ Category

Rahsia menaja prospek menggunakan blog

Saturday, May 15th, 2010

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Dalam entri kali ini, saya ingin berkongsi sedikit pengalaman saya menggunakan blog bagi tujuan penajaan. Bagi anda yang sudah mempunyai blog, saya amat sarankan agar anda menonton video yang saya hasilkan di bawah.

Sepertimana yang kita tahu, blog dapat dijadikan medium untuk kita berkomunikasi prospek dengan lebih efektif. Dengan kata lain, anda dapat mewujudkan hubungan dan kepercayaan melalui blog.

Jadi, dalam video ini saya akan berkongsi serba sedikit mengenai:

  • Kepentingan mempunyai blog dot com sendiri
  • Apakah jenis maklumat yang diinginkan oleh prospek
  • Bagaimana membuka peluang pendaftaran perniagaan jaringan ada di blog.
  • Kepentingan membina senarai email (mailing list) dengan menggunakan autoresponder
  • Strategi mempromosikan blog (Bagi anda yang sudah buntu)

Semoga perkongsian ini dapat dimanfaatkan oleh kita semua. Mohon kongsi pengalaman anda setelah mengaplikasikan ilmu yang dikongsikan melalui ruangan komen yang disediakan di bawah. Sekian terima kasih. :)

Perjuangan mesti diteruskan…

Wednesday, May 12th, 2010

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Moga para pembaca DreamDiamond.net berada dalam keadaan sihat sejahtera hendaknya. Dalam entri kali ini, mari kita sama-sama lakukan muhasabah diri seterusnya membangkitkan gergasi yang sedang tidur dalam diri masing-masing.

Saya akui, sejak kebelakangan ini saya kurang bertindak untuk memajukan perniagaan jaringan. Kadangkala rasa mahu mengalah itu muncul kerana usaha yang dicurahkan tidak membuahkan sebarang hasil lebih-lebih lagi apabila ia berkaitan dengan wang. Bagi seorang pelajar yang menjalankan perniagaan separuh masa, ia memerlukan komitmen dan fokus bagi mencapai matlamat dalam perniagaan.

Bukanlah mudah untuk budak hingusan seperti saya melakukan perniagaan jaringan. Lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan perjumpaan prospek di luar negeri. Pernah suatu ketika dahulu, seorang prospek dari negeri yang jauh dari Selangor menyatakan minat untuk menjadi rakan niaga. Terkejut juga dibuatnya kerana saya sendiri tidak mengenali individu tersebut.

Namun begitu, setelah menghubungi beliau, barulah saya sedar bahawa beliau mengenali saya melalui internet dan mengetahui bahawa saya membangunkan perniagaan jaringan. Lantas membuatkan individu tersebut berminat untuk menjadi rakan niaga saya.

Perjalanan ke destinasi bermula…

Membuat keputusan untuk bergerak ke negeri tersebut merupakan ‘idea gila’ kerana ramai yang menasihati saya bahawa fikirkan terlebih dahulu kerana ia melibatkan wang, masa dan tenaga yang banyak. Di saat itu pula saya memang kesuntukan wang, tetapi apakan daya, peluang sebegini sepatutnya tidak dilepaskan. Mungkin ia akan mengubah dunia perniagaan jaringan saya.

Jadi, keputusan telah dibuat dan perjalanan ke negeri orang pun bermula. Pada saat itu, perkara yang bermain di fikiran saya ialah, “Betulkah apa yang aku lakukan ini? Adakah keputusan yang aku lakukan ini dapat mengubah masa depanku atau bakal membawaku ke lembah masalah semula?”. Soalan tersebut bermain-main difikiranku sehingga aku sampai ke destinasi tersebut.

Alhamdulillah, proses pendaftaran rakan niaga telah selesai dilakukan. Kini saya perlu kembali semula ke rumah. Pada saat ini, hanya tuhan sahaja yang tahu betapa letihnya badan ini apabila pergi dan balik pada hari yang sama.

Hasilnya tidak seperti yang dijangka…

Hari demi hari, minggu demi minggu, bulan demi bulan. Tiada apa yang berubah. Saya sendiri berasa hairan kerana rakan niaga tersebut langsung tidak menghubungi untuk mendapatkan sebarang nasihat atau pertolongan berkenaan dengan pembangunan perniagaan. Pelbagai cubaan telah dilakukan untuk menghubungi beliau, namun tiada siapa yang menjawab.

Sebuah perjuangan yang sia-sia. Namun adakah ianya benar sia-sia atau ia merupakan pengalaman yang bermakna untuk menjadikan kita lebih baik daripada sebelumnya?

Pengajarannya…

Dalam hidup ini, kita akan dihimpit kesusahan dan kesenangan tanpa mengira waktu. Jadi, janganlah mudah untuk berputus asa. Gagal sekali tidak bermakna gagal selama-lamanya. Jadikanlah kegagalan tersebut sebagai satu pengalaman manis dan teruskan perjuangan anda sehingga matlamat dapat dicapai.

Insya Allah, saya doakan kejayaan anda.

Semuanya memerlukan komitmen dan konsistensi

Wednesday, April 28th, 2010

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada anda semua yang sudi menjadikan blog DreamDiamond.net sebagai wadah informasi bagi perniagaan MLM anda. Baru-baru ini saya dikejutkan dengan sebuah notifikasi di Facebook dimana seorang individu tersebut mengatakan bahawa beliau mempunyai semangat semula untuk berjuang dalam perniagaan MLM semula setelah membaca entri-entri DreamDiamond.net.

Adakah saya seorang yang hebat?

Tidak sesekali. Saya juga manusia biasa seperti anda, mempunyai kelebihan dan kekurangan. Cuma apa yang membezakan kita adalah impian dan matlamat yang ingin dikecapi. Meskipun saya tidaklah tergolong dalam golongan usahawan MLM yang berjaya, tetapi saya juga mempunyai impian dan saya yakin bahawa impian tersebut akan dapat dikecapi tidak lama lagi.

Komitmen – Sebaik sahaja anda membuat keputusan untuk bertindak

Ada yang berkata, “Tindakan pertama menentukan kejayaan”. Saya setuju dengan pendapat tersebut. Namun begitu, tindakan berterusan adalah kemuncak bagi memperoleh kejayaan. Disinilah bermulany komitmen.

Hari ini mungkin kita bertindak, esok atau lusa mungkin tidak. Jadi, bagi memastikan perjalanan ke arah matlamat anda berjalan dengan lancer, pastikan anda meletakkan komitmen untuk melakukan sesuatu. Dengan kata lain, “Buat biar sampai jadi”.

Konsistensi – Amalan setiap saat, jam dan hari anda

Bagi memudahkan pemahaman kita semua, konsistensi berkait dengan amalan yang kita lakukan setiap hari. Dalam kehidupan, kita akan mandi setiap hari, gosok gigi, solat dan banyak lagi. Begitu juga dalam perniagaan, konsisten memainkan peranan penting bagi terus memajukan serta mengukuhkan perniagaan.

Dalam perniagaan, pemasaran harus dilakukan secara konsisten. Lihat sahaja syarikat-syarikat besar seperti Maxis, Digi dan Celcom. Syarikat-syarikat seperti ini sudah mempunyai aset sehingga berbilion ringgit, namun mereka tetap melakukan pemasaran.

Mengapa demikian? Kerana pemasaran adalah nadi dalam perniagaan. Jika tiada pemasaran, maka tiada keuntungan. Jika tiada keuntungan, maka anda akan rugi. Konsepnya semudah itu.

Kesimpulannya, apa yang paling penting ialah komitmen dan konsistensi anda untuk memajukan perniagaan. Semoga entri ini sedikit sebanyak dapat menaikkan semangat anda untuk terus berjuang. Salam kejayaan daripada saya.

(P.S: Alhamdulillah, Nutrisi 2.0 telah berjaya dilancarkan. Sila layari http://www.dreamdiamond.net/nutrisi bagi mendapatkan dua ebuku eksklusif daripada pihak kami iaitu ‘5 Strategi Mendapatkan Motivasi Bersenam’ dan ‘Rahsia Diet Sihat Tanpa Bersenam’)

Langkah seterusnya dalam perniagaan MLM – Membina Blog Dot Com

Tuesday, April 27th, 2010

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Perniagaan networking atau lebih dikenali sebagai Multi Level Marketing kini mendapat tumpuan hebat oleh masyarakat tempatan sama ada dari segi baik dan juga sebaliknya. Walaubagaimanapun, ia menunjukkan sedikit sebanyak pendedahan kepada khalayak tentang kelebihan perniagaan ini dimana dengan hanya membina jaringan, kita mampu menjana pendapatan yang lumayan untuk jangka masa panjang.

Namun begitu, dunia kini sudah berubah. Ramai yang beranggapan cara ‘tradisional’ masih lagi berkesan. Salah satu teknik yang popular dipanggil ‘cold calling’ dimana kita menyenaraikan prospek dan menghubungi mereka untuk mengadakan temu janji. Seterusnya membentangkan peluang perniagaan kepada mereka.

Saya tidak mengatakan bahawa teknik ini langsung tidak berkesan. Tetapi cuba fikirkan kembali, sejauh mana usaha yang telah anda laburkan menggunakan teknik ini dan kaji balik hasil yang telah anda peroleh. Adakah ia setimpal?

Mungkin ada yang berkata “Tidak mengapa. Kita bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian”. Kenyataan tersebut adalah benar tetapi alangkah baiknya jika kita sedar bahawa terdapat kelebihan yang boleh kita gunakan pada hari ini iaitu penggunaan jalur lebar atau panggilan mesranya ‘Internet.

Bagaimana hendak menggunakan internet sebagai medium memasarkan perniagaan MLM?

Terdapat pelbagai cara yang boleh kita lakukan untuk mempromosikan perniagaan MLM kita kepada khalayak. Tetapi ia perlu dilakukan dengan betul dan beretika. Kita harus menerima kenyataan bahawa orang lain amat benci pada SPAMMER iaitu golongan individu yang tidak bertanggungjawab menggunakan teknik ‘blast email’.

Perbuatan ini bukan sahaja dapat menjatuhkan reputasi perniagaan MLM kita, malah ia dapat mencalarkan kredibiliti individu itu sendiri yang jelas tidak mengamalkan ciri-ciri ‘professionalisme’ dan etika ‘bijak berniaga’.

Jadi, apakah cara promosi yang terbaik?

Jelas sekali, tidak lain tidak bukan adalah melalui pembacaan anda sekarang iaitu blog. Ini berikutan penggunaan blog dapat meningkatkan lagi kredibiliti dan kepercayaan pelawat / prospek untuk mengenali anda dengan lebih lanjut, seterusnya mengambil tahu apakah jenis perniagaan yang anda jalankan.

Blog yang saya maksudkan ini adalah jenis dot com iaitu di’host’ oleh server anda sendiri. Sebagai contoh, laman blog http://www.dreamdiamond.net merupakan blog perniagaan MLM yang menggunakan server sendiri.

Mengapa dot com? Bukankah ada Blogspot dan Wordpress yang percuma?

Perkara pertama, jika anda tidak sanggup untuk melaburkan sedikit wang (sekurang-kurangnya RM100) untuk memiliki blog dot com sendiri, maka anda sebenarnya masih tidak bersedia untuk berniaga. Terus terang saya katakana bahawa terdapat banyak kelebihan yang bakal anda peroleh apabila menggunakan blog sebagai platform untuk mempromosikan perniagaan MLM.

Anda sudah mempunyai blog? Mahu tahu cara promosi?

Baiklah, bagi anda yang sudah mempunyai blog. Maka tahniah saya ucapkan. Perkara ‘kritikal’ yang seterusnya ialah menulis entri-entri bagi menjadikan blog anda sebagai medan informasi. Persoalannya, informasi apa yang sesuai untuk blog perniagaan MLM anda?

Saranan saya, mulakan dengan produk MLM anda. Pilih produk yang sedang anda gunakan dan yakin bahawa ia telah banyak mengubah kehidupan seharian anda. Sebagai contoh, katakan anda pengguna Nutrilite, maka anda boleh menulis entri-entri mengenai faedah dan kelebihan Nutrilite.

Hendak dimudahkan cerita, kongsi apa sahaja maklumat yang dapat memberikan manfaat kepada pelawat blog. :)

Saya sudah tunjukkan jalan kepada anda. Kini tibalah masanya untuk tindakan susulan daripada diri anda sendiri.

Saya yakin dengan perkongsian pada entri ini banyak membantu para usahawan MLM di luar sana mengetahui apakah kelebihan blog bagi perniagaan mereka. Namun begitu, hanya tindakan sahaja yang menentukan segala-galanya.

5 Tips membina jaringan kenalan yang berkualiti

Thursday, April 22nd, 2010

Assalamualaikum dan salam sejahtera, moga tuan semua berada dalam keadaan sihat sejahtera.

Apabila bercerita mengenai perniagaan jaringan, perkara pertama yang bermain di fikiran kita ialah senarai “prospek” yang sesuai dijadikan rakan niaga dalam perniagaan. Buat pengetahuan tuan, dalam perniagaan ini, senarai prospek yang banyak tidak menjamin sebarang kejayaan perniagaan. Tetapi kualiti prospek adalah punca utama bagi tuan membina perniagaan ini dengan jayanya.

Jadi, bagaimana untuk mengetahui sama ada prospek tuan mempunyai kualiti untuk menjadi rakan niaga dalam perniagaan tuan? Disini saya senaraikan 5 tips yang akan dapat membantu tuan bagi mengenal pasti prospek-prospek yang berkualiti.

1. Mempunyai visi dan misi dalam hidup

Seringkali kita lihat orang disekeliling kita hanya mengikut arus dalam kehidupan. Berbeza dengan mereka yang berkualiti dimana golongan seperti ini mempunyai matlamat dalam hidup. Antara matlamat mereka ialah:

  • Ingin mencapai matlamat bebas masa dan kewangan.
  • Ingin memulakan perniagaan sendiri.
  • Ingin menjadi seorang yang berjaya dari segi akademik mahupun kehidupan.

Mengapa saya katakan bahawa golongan seperti ini adalah prospek yang berkualiti? Ini berikutan mereka tahu untuk mencipta matlamat sebaik sahaja menyertai perniagaan tuan. Tuan juga tidak perlu risau bagaimana untuk membimbing mereka kerana majoritinya sudah bersedia untuk bertindak.

2. Menguasai teknik komunikasi dengan baik

Golongan yang mahir dalam komunikasi adalah “emas” dalam perniagaan jaringan. Mengapa saya berkata demikian? Golongan ini tidak perlu dididik daripada awal tentang bagaimana untuk berkomunikasi dengan prospek atau pelanggan. Ini berikutan komunikasi merupakan nadi dan jantung dalam kehidupan mereka.

Untuk mengenal pasti golongan ini, tuan perlu banyak mengajukan soalan-soalan yang berkaitan dengan minat mereka dan lihat bagaimana mereka menceritakannya. Jika teknik penceritaan mereka baik dan berjaya menarik perhatian tuan untuk mendengar dengan lebih lanjut, maka jelas prospek tersebut mempunyai teknik komunikasi yang baik.

3. Tahu menjual

Walaupun menjual adalah perkara mudah dan sentiasa dilakukan dalam kehidupan seharian kita, namun tidak semua yang mempunyai mentaliti sebegini. Untuk memudahkan tuan mengenal pasti golongan ini, tuan boleh luangkan masa sebentar di mana-mana pusat membeli belah dan lihat pada jurujual yang ada di sekeliling.

Ingat, mereka yang tahu menjual tidak menggunakan teknik “memaksa”. Jadi, tuan jangan salah sangka dengan poin ini. Penjualan yang efektif wujud daripada penampilan pertama, iaitu dari segi kekemasan diri dan personaliti. Kemudian barulah masuk kepada bahagian komunikasi jualan.

Apabila tuan menghampiri jurujual, kenal pasti sama ada tuan selesa atau tidak bersama mereka. Lihat dan dengar bagaimana mereka berkomunikasi dengan anda. Adakah ia berjaya mempengaruhi anda untuk membeli produk yang ditawarkan?

Penjualan yang efektif berkait rapat dengan teknik mempengaruhi seseorang. Dimana fokus perlu diletakkan pada “kebaikan yang bakal diperoleh oleh bakal pengguna” serta banyak bertanyakan soalan kepada bakal pelanggan.

4. Bijak menguruskan masa

Masa adalah ‘emas’. Begitu juga dalam perniagaan jaringan, apabila tuan memperoleh prospek yang mempunyai ciri-ciri bijak menguruskan masa, maka mereka adalah ‘emas’ dalam senarai prospek tuan. Ini bermakna, sila pastikan tuan mempunyai rakan niaga yang mempunyai ciri ini.

Untuk mengenal pasti golongan yang bijak menguruskan masa, kita boleh lihat dari perwatakan mereka iaitu waktu mereka bangun dari tidur, prestasi kerja, dan mempunyai sifat tenang (kerana tahu menguruskan stres).

5. Tidak boros dan bijak menguruskan wang

Seorang yang boros adalah mereka yang tidak tahu menghargai wang. Ini merupakan faktor utama mengapa perniagaan jaringan yang dibina selama bertahun-tahun mudah untuk jatuh begitu sahaja. Fikirkan begini, tuan sudah mencapai satu tahap dimana keuntungan perniagaan tuan mencapai RM100,000 setiap tahun. Walaupun wang itu kelihatan banyak, namun jika ia tidak dapat diuruskan dengan bijak, tuan bakal berhutang dengan lebih jumlah wang yang lebih banyak daripada itu.

Sebagai contoh, tuan membeli sebuah kereta mewah yang berharga RM150,000. Ia sudah jelas bahawa tuan sudah membeli sesuatu yang melebihi daripada kemampuan tuan. Meskipun ia dibayar secara ansuran, namun lambat laun tuan akan sedar bahawa ia adalah satu pelaburan yang tidak menguntungkan.

Bagi mereka yang bijak menguruskan wang, duit tersebut digunakan untuk membina sebuah perniagaan yang lain atau melaburkan pada sesuatu yang menguntungkan seperti hartanah dan sebagainya.

Semoga perkongsian saya ini memberi sedikit sebanyak manfaat kepada tuan dan saya amat berharap agar ia dapat membantu tuan membangunkan perniagaan jaringan yang mempunyai rakan niaga yang berkualiti.